Beliau selaku bekas Perdana Menteri menyifatkan usaha semua pihak yang membantu terdiri daripada kalangan ketua UMNO bahagian dan ahli-ahli biasa di seluruh negara itu, amatlah bermakna.

"Semalam saya juga telah menerima sumbangan dari ketua-ketua bahagian UMNO di seluruh negara, malah pagi tadi pun sebelum saya datang ke sini (Mahkamah Kuala Lumpur) ada juga sumbangan diterima daripada UMNO Bahagian Tumpat. Inilah tanda kasih sayang kesemua ahli dan rakyat biasa kepada pemimpin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses pembayaran baki wang jaminan pembebasannya di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menerima kutipan hasil tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Razak yang diserahkan oleh Ketua Sekretariat Solidariti, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berjumlah RM489,186. - UTUSAN ONLINE