Presiden UMNO berkata, rakyat harus menilai dengan baik sikap hipokrit pemimpin tersebut yang bercanggah dengan perjuangan parti dan tidak termakan hasutan mereka dengan memburuk-burukkan parti dan kerajaan.

“Jangan pula kita dulu cakap lain sekarang buat lain. Dulu musuh sekarang dakap. Apa hal... orang yang perlekehkan kita dan hina kita macam DAP.

“DAP ada hati perut nak tolong orang Sik ka? Nak tolong orang Melayu bantu agenda bumiputera?

“Kenapa nak bersekongkol dengan orang yang dalam isi perut tidak ada hati nak tolong orang Melayu. Pas pun sudah serik tak nak tengok muka Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tetapi ada bekas pemimpin kita nak tengok... nak dakap DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sik di Kompleks Sukan Perdana Majlis Daerah Sik di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah.

Pada majlis yang sama Perdana Menteri melakukan gimik sebagai merasmikan Kompleks Sukan Perdana Majlis Daerah Sik hari ini yang bernilai RM7 juta yang mempunyai kemudahan seperti gimnasium, padang bola sepak dan Dewan Al Hana.

Terdahulu kehadiran Perdana Menteri kira-kira pukul 11 pagi itu disambut lebih 10,000 penduduk setempat dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat.

Berucap lanjut Perdana Menteri meminta agar rakyat negeri ini bijak dalam membuat penilaian tentang pembangkang.

“Ada kata kita perlu tukar kerajaan... kita tukar kerajaan di Kedah, di Sik tetapi siapa yang bantu orang Sik... 18 tahun dalam kegelapan siapa yang bagi sinar,” katanya. - UTUSAN ONLINE