Lebih-lebih lagi ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut daripada bekas Perdana Menteri sendiri mengenai maksud program terbaharu beliau ‘Malu Apa Bossku’ yang sohor kini terutamanya dalam media sosial.

Selain itu, pengamal media juga ingin mengetahui mengenai apa yang dibincangkan oleh Najib dalam pertemuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagaimana dipaparkan menerusi sekeping gambar dimuat naik beliau dalam laman Twitternya semalam.

Pendek kata banyak yang ingin ditanyakan pengamal media kepada Najib hari ini.

Lagi pun, jarang pengamal media berpeluang menemu bual Najib sejak Barisan Nasional (BN) tewas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta selepas beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO.

Walau bagaimanapun, selepas menunggu hampir satu jam di pejabat yang baharu disewa beliau sejak Oktober tahun lalu itu, Najib enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana jadualnya hari ini padat dengan mesyuarat bersama kakitangan dan beberapa pihak berkaitan.

Menurut Setiausaha Akhbar kepada Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin, Ahli Parlimen Pekan itu akan mengadakan pertemuan dengan para media dalam tempoh terdekat bagi menjelaskan perkara tersebut dan isu-isu lain.

“Lain kali, bukan hari ini. Nanti kita maklumkan kepada media,” katanya kepada pemberita di pejabat Najib di Taman Bukit Pantai, di sini hari ini.

Antara yang kelihatan di pejabat tersebut adalah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dan Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin. - UTUSAN ONLINE