Menurut Najib, sebagai bekas Menteri Kewangan, beliau sedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya agar kebenaran terhadap dakwaan tersebut dapat didedahkan.

“Memandangkan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dibuat dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan akan membuat siasatan terhadap dakwaan ‘rompakan’ RM18 bilion ini, saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya sebagai bekas Menteri Kewangan agar kebenaran dapat didedahkan.

“Jika dakwaan ini didapati tidak benar, maka Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) telah memperdaya Parlimen ketika beliau membuat tuduhan serius itu. Apabila itu berlaku, saya amat berharap Speaker Dewan Rakyat tidak lagi melindungi Lim Guan Eng kerana dewan yang mulia itu bukanlah tempat atau ruang bagi membuat dakwaan tidak berasas dan tuduhan yang bermotifkan politik,” katanya menerusi catatan dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.

Sementara jelas Najib, tuduhan Guan Eng juga adalah tidak berasas sama sekali dan merupakan kenyataan politik yang tidak benar.

Tambahnya, tiada wang atau dana ‘dirompak’ kerana kutipan wang GST semua dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan.

“Sebagaimana kutipan cukai dan pendapatan lain, kesemua kutipan GST dibayar terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan. Dari situ, dana dibayar ke dalam akaun amanah tuntutan GST setiap bulan bagi memenuhi keperluan pembayaran tuntutan secara berterusan.

“Ini dibenarkan oleh undang-undang dan memenuhi peruntukan Akta GST 2014 yang dibentangkan di Parlimen yang mana pemimpin Pakatan Harapan juga hadir termasuk Guan Eng sendiri maka sudah tentu beliau tahu,” katanya. - UTUSAN ONLINE