Beliau berkata, Najib perlu menjawab persoalan yang lebih utama berhubung misteri 'peruntukan' RM39.7 juta bagi 13 sekolah Tamil yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tanpa mendapat peruntukan dan kelulusan Kabinet.

"Jangan lari daripada tajuk kerana beliau telah dipersoalkan tentang duit misteri yang diberikan kepada sekolah Tamil yang ditanya ke mana ghaibnya duit itu di zaman beliau menjadi Perdana Menteri. Jadi, beliau perlu jawab dan jangan alihkan isu ini,’’ kata­nya kepada pemberita dalam Majlis Penyampaian Pek Kembali ke Sekolah McDonald's Malaysia, di sini hari ini.

Pada 26 Oktober lalu, portal Malaysiakini melaporkan bahawa pemeriksaan Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Kewangan mendapati kabinet BN tidak meluluskan sebarang peruntukan yang diumumkan kepada sekolah terbabit yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Ia dibangkitkan oleh Majlis Lembaga Sekolah-sekolah Tamil Malaysia (MAST) setelah peruntukan itu masih belum diterima sehingga kini.

Sebelum ini, Najib dan Maszlee saling berbalas-balas kenyataan apabila Najib terlebih dahulu memuat naik bahan di Facebook semalam yang menyindir Maszlee berkenaan kenyataan beliau di Parlimen mengenai pendidikan di Malaysia 'hampir percuma' dan kerajaan akan mengekalkan yuran universiti.

Maszlee turut membalas sindiran itu di Facebook hari ini dengan berkata, pendidikan percuma boleh dikecapi sekiranya pemimpin tidak menggunakan duit rakyat untuk membeli barangan mewah bagi isteri dan keluarga.– BERNAMA