Sebaliknya, Najib memberitahu beliau sebelum ini hanya bercadang untuk menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut.

“Saya tak pasti pihak mana yang mengeluarkan grafik ini bahawa saya akan bersembang santai di dalam masjid.

“Saya memang ada rancangan untuk solat Jumaat di masjid berkenaan esok.

“Tetapi memang tidak ada dalam perancangan kita untuk mengadakan sesi sembang santai di dalam masjid,” katanya dalam Facebook miliknya malam ini.

Tambahnya, atas sebab itu beliau tidak pernah membuat sebarang pengumuman mengenai program tersebut.

“Sebab itu majlis tersebut tidak pernah diumumkan dalam Facebook saya seperti lawatan-lawatan lain saya sebelum ini.

“Selama ini saya tidak pernah berceramah atau bersembang santai di dalam masjid kerana kita semua menghormati rumah Allah dan tidak disalahgunakan,” katanya.

Beliau yang kini lebih dikenali dengan panggilan Bossku memberitahu bercadang mengadakan program tersebut di lokasi yang berbeza kerana telah mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Oleh kerana acara tersebut telah mendapat perhatian orang ramai setelah dilaporkan di dalam media saya difahamkan bahawa kawan-kawan saya di UM ada rancangan untuk mencari sebuah cafe berhampiran di sana untuk bertemu dengan sahabat-sahabat sana selepas Solat Jumaat.

“Mungkin ada hikmah selepas ada yang cuba beri gambaran buruk kononnya saya akan gunakan masjid bagi program sembang santai,” katanya.

Sebelum ini, pengurusan Masjid Ar-Rahman UM dikatakan telah membuat laporan polis berhubung penganjuran program tersebut kerana pihak pengurusan masjid tidak dimaklumkan lebih awal. - UTUSAN ONLINE