Keratan layar laporan berita ucapan Azmin yang menyentuh Allhayarhan Tun Abdul Razak.-Media sosial
Keratan layar laporan berita ucapan Azmin yang menyentuh Allhayarhan Tun Abdul Razak.-Media sosial 

Najib turut meminta agar Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi supaya tidak 'mengusik' bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak yang telah lama meninggal dunia.

"Tanpa sebarang sebab dia tiba-tiba petik nama Allahyarham ayahanda saya untuk menyerang saya.

"Saya fikir tak payahlah Azmin melampau hingga menyentuh tentang keluarga saya. Ayah saya sudah meninggal dunia lebih 43 tahun dahulu. Jangan diusik lagi," kata Najib dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Azmin sebelum ini dilaporkan berkata, "Sekiranya Almarhum Tun Razak boleh bangun, dia cekik anak dia".

Ucapan Azmin itu dibuat untuk membalas kritikan Najib terhadap kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam menjaga legasi Tun Abdul Razak.

“Dia tuduh kita khianat Melayu. Tengok sahaja Felda kita dukung amanat Almarhum Tun Razak buka tanah kerajaan dan beri tanah Felda kepada peneroka dan bantu masyarakat supaya angkat ekonomi mereka dan jurangkan kesenjangan ekonomi masyarakat. 

"Datang anak dia, pergi swastakan Felda," kata Azmin selepas ceramah Isu Semasa di Kampung Rinching Hilir, Semenyih.

Sementara itu, Najib dalam hantaran yang sama berkata, beliau bimbang Azmin yang ditugaskan untuk menjaga hal ehwal berkaitan Felda tidak memahami pertubuhan tersebut.

"Dia tuduh saya swastakan Felda kepada FGV. Sebenarnya, Felda dan FGV adalah dua entiti berlainan. Tanah Felda dan tanah peneroka tetap tanah mereka.

"FGV ialah anak syarikat Felda. FGV bukan Felda atau sebaliknya. Cuma Felda ada perjanjian untuk menyewa sebahagian tanah mereka kepada FGV.

"Perjanjian ini dipanggil Land Lease Agreement. FGV kena bayar Felda RM250 juta setiap tahun serta 15 peratus dari keuntungan tahunan FGV untuk menyewa tanah ini. Oleh itu, Felda bukan diswastakan. Takkan Azmin tak faham ini?" kata Najib. -UTUSAN ONLINE