Najib yang juga Menteri Kewangan juga akan menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 atau WIEF 12, pada 2 hingga 4 Ogos ini.

Ketibaan Perdana Menteri itu diringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma, 7.15 petang ini (waktu Malaysia).

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri akan turut melibatkan pertemuan de­ngan pemimpin negara lain.

“Perundingan Tahunan ke-11 itu adalah yang pertama antara Najib dan Jokowi, selepas pemimpin Indonesia itu dilantik menyandang jawatan Presiden pada 2014.

“Antara isu yang akan dibincangkan dua pemimpin itu menyentuh kerjasama ekonomi termasuk tenaga, persempadanan, tenaga kerja seperti pembantu rumah selain masalah jerebu,” kata Zahrain dalam taklimat kepada media Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha di ba­wah kerangka perundingan tahunan itu sebelum ini diadakan di Jakarta pada 19 Disember 2013.

Beliau berkata, Perdana Menteri memiliki jadual padat membabitkan beberapa mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa yang menyentuh kepentingan bersama Malaysia dan Indonesia.

Najib dan Jokowi akan turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian antara Bank Negara Malaysia dan Otoritas Jasa Kewangan Indonesia di bawah Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN (ABIF) selain perjanjian antara Kerajaan Indonesia dan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) berhubung Sekretariat CPOPC.

Perdana Menteri akan turut mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia, termasuk para pelajar pada majlis makan malam di Kedutaan Besar Malaysia di sini esok, selepas menghadiri acara Perundingan Tahunan berkenaan.

Dalam sidang WIEF ke-12 yang bertemakan Desentralisasi Pertumbuhan, Memperkasa Perniagaan, Najib selaku Penaung kepada Yayasan WIEF akan me­nyampaikan ucapan khas semasa majlis perasmian pada 2 Ogos 2016 yang disempurnakan oleh Presiden Jokowi.

Menurut Zahrain, beberapa mesyuarat hubungan dua hala antara Najib dan para pemimpin dari Guinea, Sri Lanka, Jordan dan Tajikistan turut dirancang bersempena penganjuran WIEF itu.

Perdana Menteri juga dijadual menghadiri majlis prapelancaran Global Entrepreneurship Community (Komuniti Keusahawanan Global) atau GECommunity, hasil inisiatif Kementerian Kewangan.

Najib akan turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dan perjanjian antara Malaysia dan syarikat antarabangsa.

Bagi delegasi Perundingan Tahunan itu, Perdana Menteri akan disertai beberapa anggota Kabinet termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Acara WIEF-12 pula akan dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; Menteri Pelanco­ngan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin. – UTUSAN