Dalam ucapan penggulungan di hadapan 2,654 perwakilan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Najib mengingatkan betapa dahsyatnya perbuatan fitnah serta halusnya budaya Me­layu dalam menegur pemimpin serta menyuarakan sebarang pandangan.

Walaupun tidak menyebut nama pengkritik beliau yang bagaimanapun secara jelas ditujukan kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut berada di atas pentas utama, beliau berkata, adab orang Melayu menegur pemimpin begitu tertib dan bersopan.

Kalau mahu berbuat demikian dalam bentuk sindiran pun, kata beliau, seseorang itu 'tidak bantai tegak-tegak, dia tak lutu, dia tak tibai dan dia tak balun’.

“Sebagai mengambil sempena ajaran Islam yang suci menurut alim ulama, saya nak beritahu bahawa saya, Najib Razak sebagai Presiden UMNO, memilih untuk berjiwa besar.

“Saya memilih jiwa besar untuk membuka pintu serta jendela hati saya, menghulurkan silaturahim kepada semua supaya kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO ini,” kata beliau yang serentak disambut para perwakilan dan kesemua pemimpin tertinggi di atas pentas utama Dewan Merdeka, yang memberi tepuk sanjungan yang gemuruh (standing ovation).

Ketika itu juga Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin menjerit meminta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, yang juga salah seorang pengkritik Najib, supaya bangun yang bagaimanapun tidak mendapat reaksi Muhyiddin.

Seketika kemudian, Najib yang meneruskan ucapannya, menegaskan: “Namun, namun dengan tegas saya mahu menyatakan, jika seandainya mana-mana pihak masih lagi tetap menolak dan mahukan pertelagahan, ertinya, faham baik-baik! faham baik-baik!.

“Kini bukan lagi soal peribadi, mereka bukan menentang saya sebagai Najib Razak presiden parti, bahkan sebenarnya ternyata mereka telah tolak untuk mencari titik-titik perdamaian dan menolak keputus­an syura, parti atau jemaah UMNO kita ini,” kata beliau.

Kata Najib:“Apa guna kita bermusuh? Berpatah arang dan berkerat rotan, kerana yang menang akan jadi arang dan yang kalah pula jadi abu, nanti orang lain pulalah yang dapat untung.”

Bagi Presiden itu, begitulah realiti kehidupan masa ini yang ada pasang surutnya.

Meminjam falsafah hidup pemikir ulung Nusantara, Hamka, kata Najib: “Hidup ini pertengahan antara pahit dan manis. Jika selalu sahaja manis, hati tentu berasa bosan, kalau selalu pula pahit, jiwa pula pasti menjadi rawan.

“Walau rentung dibakar difitnah, walau bercerai anggota dari badan, walau bercacak panah dan lembing, panji-panji UMNO kita tegakkan juga. Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat lutut, there should be no retreat, no surrender, no retreat, no surrender.

Sebaik sahaja Najib menyudahkan ucapan hampir sejam itu, beliau kemudian menuju ke arah Muhyiddin, yang diikuti Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sebelum dilihat bersalam­an dengan timbalannya itu.

Shahrizat yang mungkin mengharapkan sesuatu yang lebih dari sekadar bersalam, kelihatan sedikit kecewa.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Najib berkata, Perhimpunan Agung parti kali ini membawa mesej jelas bahawa ahli-ahli UMNO mahukan perdamaian.

“Alhamdulillah, saya lihat mesej daripada perhimpunan ini amat jelas sebagai kuasa tertinggi parti yang tidak mahu pertelagahan dalam parti. Mereka (ahli-ahli) mahu kita berdamai mengikut semangat syura dalam jemaah UMNO,” katanya.

Ditanya penerimaan Muhyiddin terhadap salam perdamaian itu, Najib berkata, perkara tersebut harus diajukan kepada Muhyiddin sendiri.

Malah, beliau menjelaskan, Muhyiddin juga tidak menyatakan apa-apa ketika mereka bersalaman di atas pentas.