Idris Ahmad
Idris Ahmad

Selain Nasrudin, tiga lagi pe­nyandang jawatan tersebut yang merupakan pemimpin senior di dalam Pas iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Samad turut bertanding bagi merebut kerusi Naib Presiden.

Pengesahan pencalonan Nasrudin menjadikan hanya jawatan Naib Presiden dipertandingkan bagi peringkat tertinggi kepemimpinan parti itu pada sesi pemilihan kali ini setelah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kekal status quo apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man diberi kepercayaan untuk menerajui parti itu tanpa dicabar mana-mana ahli.

Seorang lagi calon Naib Pre­siden, iaitu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding.

Peluang Nasrudin untuk me­rebut kerusi Naib Presiden dijangka cerah berdasarkan pres­tasi cemerlang sebagai Ketua Pene­rangan Pas Pusat sebelum ini walaupun dikatakan beliau merupakan antara pemimpin junior di dalam parti yang merebut jawatan tersebut.

Pendirian beliau dilihat tegas dalam soal agama Islam juga se­nada dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pelbagai isu termasuk Rang Undang-undang Mahkamah Sya­riah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 sehingga ia berjaya dibentangkan di Parlimen merupakan isyarat bahawa beliau antara yang layak untuk menduduki kerusi Naib Presiden itu.

Dua sayap Pas iaitu Dewan Pemuda Pas Pusat, Dewan Muslimat Pas Pusat pula menyaksikan jawatan peringkat tertingginya dimenangi tanpa bertanding.

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

Muhammad Khalil Abdul Ha­di yang merupakan anak kepada Presiden menepati ramalan sebelum ini apabila dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda manakala Khairil Nizam Khiruddin sebagai Timbalan Ketua dan Ahmad Fadhli Shaari pula sebagai Naib Ketua.

Muhammad Khalil ketika dihubungi berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya dan memohon doa daripada semua agar dirinya mampu menjalankan tugas yang diamanahkan itu.

Bagi Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh dilantik sebagai Ke­tua, Rosni Adam sebagai Timbalan Ketua dan Salamiah Mohd Noor dilantik menjadi Naib Ketua.

Dalam pada itu, semua jawatan bagi Dewan Ulama dimena­ngi tanpa bertanding.

Sementara itu, bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pula seramai 26 dicalonkan dan perwakilan akan memilih 18 calon untuk mengisi jawatan tersebut.

Antara yang dicalonkan bagi mengisi jawatan AJK Pas Pusat ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi.