Dalam kenyataan semalam, Kementerian Pendidikan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihaknya hanya memberi penekanan kepada pembangunan sekolah Cina dan me­ngabaikan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

“Dalam kes yang dipertikaikan beberapa pihak, peruntukan penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching adalah peruntukan diluluskan untuk 2018 dan bukan peruntukan tahun ini.

“Mengenai peruntukan kepada sekolah-sekolah menengah persendirian Cina 2019 berjumlah RM12 juta, ia bukan merupakan peruntukan Kementerian Pendidikan sebaliknya adalah dana khas yang disalurkan te­rus oleh Kementerian Kewangan kepada sekolah terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kementerian Pendidikan berkata, Menteri­nya, Dr. Maszlee Malik sendiri telah mengemukakan permohonan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan membaiki sekolah kebangsaan dan agama negeri.

Jelasnya, permohonan ter­sebut bagaimanapun masih dalam pertimbangan kementerian terbabit sekali gus menolak tanggapan yang Kementerian Pendidikan tidak mengambil berat kebajikan murid dan sekolah khususnya aliran sekolah kebangsaan.

“Selain peruntukan besar untuk menyelenggara dan membaiki sekolah bagi tahun ini, kerajaan sudah memperuntukkan RM128 juta untuk membangun dan menaik taraf sekolah daif di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menggunakan peruntukan pembangunan kementerian tahun 2019,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai banjir buruk yang berlaku di bahagian Utara Queensland, Australia, Dr. Maszlee dalam kenyataan berasingan mengesahkan tiada pelajar Malaysia yang terjejas akibat bencana tersebut.

Dr. Maszlee berkata, laporan yang diterima daripada Education Malaysia Australia malam tadi menunjukkan kesemua pelajar Malaysia di kawasan Townsville, Queensland selamat.

“Kementerian Pendidikan akan terus berhubung dengan pelajar-pelajar Malaysia dan memberikan segala sokongan yang diperlukan,” katanya.