Dalam masa sama, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Atif Syed Abu Bakar juga mempersoalkan apa lagi yang dikejar oleh Mustapa dan Anifah selepas diberi peluang dengan pelbagai jawatan penting di dalam kerajaan dan parti sebelum ini.

“Tidakkah mereka (Mustapa, Anifah) rasa terhutang budi dan berterima kasih kepada UMNO yang telah lama memberi ruang kepada mereka menonjolkan bakat dan kehebatan. Tidakkah boleh mereka melepaskan jawatan dan tumpukan khidmat di kawasan mereka sebelum bersara.

“Mereka boleh gunakan baki masa yang tinggal dalam penggal ini untuk mempersiapkan barisan pimpinan baharu yang mampu berkhidmat pada tahap sama atau lebih baik daripada mereka, bukannya meninggalkan parti,” katanya di sini hari ini.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan keluar UMNO semalam kerana mendakwa hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsip politiknya.

Anifah yang merupakan Ahli Parlimen Kimanis dan bekas Menteri Luar turut berbuat demikian hari ini.

Sementara itu, Syed Atif yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau berkata, pimpinan yang keluar parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mungkin boleh bercakap soal prinsip perjuangan, kesalahan dan kekhilafan UMNO.

Bagaimanapun katanya, jika pemimpin yang keluar selepas kekalahan, adalah hanya kerana kepentingan diri sendiri.

“Dengan apa juga sebab dan alasan, UMNO sewajarnya mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada mereka.

“Pemergian mereka tentunya akan membersihkan parti daripada kelompok pimpinan yang tidak ada kesetiaan yang tulus terhadap perjuangan parti serta tidak kental jiwa untuk mengharungi ujian kekalahan ini,” katanya- UTUSAN ONLINE