Peguam beliau, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, doktor yang merawat Musa telah memaklumkan bahawa pemimpin tersebut masih tidak sihat dan memerlukan rawatan susulan, justeru beliau tidak dibenarkan untuk melakukan perjalanan jauh.

Katanya, surat permohonan itu telah diserahkan kepada Syed Abbas pada 30 Julai lalu.

"Musa sedang menunggu beberapa laporan perubatan dan diagnosis serta menunggu untuk disahkan bagaimana keadaan kesihatannya sekarang terlebih dahulu sebelum menaiki penerbangan balik ke Sabah.

"Sebagai tambahan, doktor beliau akan menentukan terlebih dahulu apakah rawatan kesihatan yang perlu diambil pada masa depan jika beliau kembali ke Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan masalah kesihatan yang dihadapi Musa serta di mana lokasi beliau ketika ini.

Sejak memenangi kerusi Sungai Sibuga pada 10 Mei lalu, Musa mempunyai tempoh tiga bulan sehingga Sabtu ini untuk mengangkat sumpah di depan Syed Abbas dan jika gagal status wakil rakyatnya akan terbatal.

Sesi kedua Sidang DUN Sabah akan berlangsung Isnin depan dan sehingga kini hanya Musa satu-satunya wakil rakyat yang masih belum mengangkat sumpah.

Fuad berkata, Musa juga telah berjanji kepada Syed Abbas untuk menyerahkan laporan perubatan penuh jika diperlukan.

Tambahnya, Musa turut mengesahkan beliau akan pulanh tidak lama lagi bagi melaksanakan tugas beliau sebagai Ketua Menteri yang sah. - UTUSAN ONLINE