Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan berkata, pesawat yang membawa pemimpin itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Singapura pada 6.45 petang.

"Pemeriksaan imigresen telah diberikan kepada beliau dan penumpang yang menaiki pesawat tersebut.

"Walaubagaimanapun, Tan Sri Musa Aman tidak dapat hadir ke kaunter pemeriksaan imigresen atas sebab kesihatan.

"Imigresen telah memaklumkan pergerakan tersebut kepada pegawai penyiasat daripada agensi Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.

Kepulangan Musa itu menamatkan pemburuan pihak berkuasa terhadapnya selepas satu kertas siasatan dibuka di negeri ini susulan laporan polis yang mendakwa beliau mengugut Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Selain itu, Musa yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga pada Mei lalu adalah satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang belum mengangkat sumpah di DUN Sabah dan diberi tempoh sehingga 11 September untuk melakukannya. - UTUSAN ONLINE