MOHAMAD TAUFIK ABAS
MOHAMAD TAUFIK ABAS

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) PPBM, Mohamad Taufik Abas memberitahu, Syed Saddiq sepatutnya menunjukkan bukti yang didakwa dimilikinya seperti mana yang dijelaskan dalam sidang akhbar.

Malah katanya, tindakan Syed Saddiq membuat dakwaan itu mungkin untuk kepentingan politik dirinya sendiri, bukan untuk parti berkenaan.

“Ini semua permainan politik. Ada dua kemungkinan di sini iaitu dia benar-benar ditawar RM5 juta atau untuk kepentingan politik dirinya sendiri berikutan semakin ramai pengikutnya sudah lari atau keluar parti pada waktu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Syed Saddiq yang berusia 25 tahun itu mendedahkan kepada media bahawa wujud cubaan mengeluarkannya daripada PPBM oleh rangkaian yang kononnya dikawal Pejabat Perdana Menteri dan dirancang penasihat kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

ANINA SAADUDIN
ANINA SAADUDIN

Syed Saddiq mendakwa, tawa­ran itu termasuk RM5 juta berserta geran bagi membuka sekolah debat di seluruh negara jika dia meninggalkan PPBM.

Sementara itu bekas Ketua Serikandi PPBM, Ani­na Saadudin berkata, Syed Saddiq boleh melaporkan me­ngenai tawaran yang diterimanya itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya mempunyai bukti.

Katanya, dia secara periba­di tidak menolak kemungkinan perkara itu kerana diri­nya sendiri tidak mempunyai bukti dan fakta.

“Kalau setakat menuduh secara lisan, semua orang boleh bercakap. Dulu, saya difitnah keluar parti PPBM kerana ditawar RM7 juta oleh UMNO, saya bertindak de­ngan membuat laporan polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta aduan kepada SPRM supaya diri sendiri disiasat. Saya juga menulis surat kepada Lembaga Disiplin PPBM untuk meminta mereka me­nyiasat mengenai fitnah tersebut.

“Pada pandangan saya, dalam sejarah 60 tahun UMNO, ada pemimpin yang keluar parti dan sertai parti lain atau menubuh parti lain, namun, tidak pernah antara mereka yang tampil kepada media mendedahkan bahawa ditawar sejumlah wang untuk kembali kepada UMNO atau Barisan Nasional (BN)” katanya.