Kemelut membabitkan ke­dua-dua parti berkenaan yang sebelum ini menjalinkan tahaluf siyasi ketika ini dilihat semakin parah apabila beberapa pemimpin PKR semakin lantang menyerang ke­pimpinan Pas dalam pelbagai isu.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan mengenai perkara itu termasuk memutuskan kerjasama politik secara mutlak akan dibuat ketika Muktamad Tahunan Pas berlangsung.

“Muktamar kali ini akan membincangkan pelbagai isu panas yang melingkari politik ketika ini. Antara yang akan disentuh termasuklah isu tahaluf siyasi dengan PKR dan perwakilan dijangka membangkitkan perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvesyen Pas negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Pas negeri ini membuat keputusan tegas apabila memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR selepas menyedari mereka dipergunakan PKR untuk mendapatkan sokongan politik khusus­nya di Permatang Pauh.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi turut menempelak pemimpin PKR yang mendakwa Pas mendapat bantuan kewangan daripada UMNO.

Katanya, tuduhan yang dilemparkan kononnya parti itu meminta serta menerima bantuan kewangan mencecah puluhan juta sebagai tuduhan politik yang tidak matang.

“Sekiranya Pas memerlukan bantuan kewangan, parti akan menggunakan kaedah seperti diamalkan sebelum ini iaitu meminta sumbangan daripada ahli-ahli di seluruh negara.

“Keadaan kewangan parti memang tidak begitu kukuh namun itu bukan alasan untuk kami (Pas) meminta-minta daripada pihak luar,” katanya.