Justeru, beliau yang juga Menteri Besar menyeru kepada seluruh rakyat supaya tidak terpengaruh dengan permainan yang dicetuskan oleh UMNO dan Pas itu melalui perhimpunan tersebut.

Katanya, perhimpunan tersebut sudah tidak relevan selepas kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk tidak meratifikasikan ICERD.

“Esok akan dianjurkan perhimpunan gergasi oleh UMNO dan Pas dengan alasan untuk menolak ICERD. Tapi kita faham perhimpunan ini adalah mainan politik yang cuba diambil kesempatan oleh dua parti ini (Pas dan UMNO) dengan menggunakan sentimen agama.

“Saya hendak tegaskan Kerajaan Pakatan Harapan memberi perhatian kepada semua kaum di negara ini selain sentiasa mempertahankan Perlembagaan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pakatan Harapan Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Sementara itu, Mukhriz juga kesal dengan tindakan UMNO dan Pas yang memainkan sentimen agama sehingga menimbulkan keresahan serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, kedua-dua parti itu sepatutnya menumpukan kepada kepada soal perpaduan dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan di negara ini.

“Kita sebenarnya sudah mengambil tindakan bijak sejak awal lagi iaitu memutuskan bahawa ICERD tidak sesuai diratifikasikan. Malah kerajaan juga sudah mengumumkan menolak konvensyen itu.

“Rakyat kena faham di sebaliknya isu ini adalah politik. Mereka iri hati kepada Pakatan Harapan kerana gabungan ini kukuh. Apa jua tindakan mereka ia tidak akan dapat menjejaskan Pakatan Harapan,” katanya. - UTUSAN ONLINE