Menurutnya, semua perbelanjaan sememangnya memenuhi belanjawan untuk tahun ini dan berada dalam kawalan.

"Tiada perbelanjaan melebih bajet malah Sultan dan Sultanah juga sangat prihatin akan soal berkenaan supaya istiadat dilangsungkan ini tidak melebih peruntukan ditetapkan.

"Buktinya, Sultan Sallehuddin memperkenankan supaya sambutan hari keputeraan baginda serta darjah kurniaan bintang tidak diadakan untuk tahun ini. Itu merupakan salah satu cara mengurangkan kos bagi memberi tumpuan kepada istiadat pertabalan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darul Aman, semalam.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin baru-baru ini menulis di laman blognya mengenai istiadat tersebut dengan beliau pada perenggan kedua terakhir mendakwa, Perlembagaan negara meletakkan raja-raja di atas takhta, di dalam istana dengan peruntukan kewangan dan kemudahan yang tidak termimpikan manusia biasa.

Beliau selepas itu menyatakan, mungkin dalam era Malaysia baharu ini, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh memaklumkan kepada rakyat mengenai jumlah perbelanjaan diperuntukan kepada raja-raja.

Sementara itu Mukhriz berkata, kalangan Exco berpuas hati dengan perjalanan semua istiadat dengan reaksi rakyat termasuk dari luar negeri dan negara rata-ratanya positif.

"Dengan liputan media yang meluas, banyak mendedahkan orang ramai kepada adat resam Kedah yang mempunyai kesultanan tertua di negara ini.

"Semua itu sedikit sebanyak menarik orang ramai dari dalam dan luar negara untuk lebih mengenali Kedah terutamanya dalam aspek latar belakang sehingga menjadikan sosio budaya kita sebagai satu tarikan kepada pelancong," katanya.

Tambahnya, memandangkan istiadat tersebut hanya berlangsung sekali dalam tempoh 59 tahun dan menjadi acara sekali seumur hidup untuk ramai orang, maka tidak wajar untuk mana-mana pihak mempertikaikan mengenainya.

"Ini bukan acara tahunan dan disebabkan itu saya fikir sebarang komen mengenai pertabalan ini khususnya terhadap baginda tidak patut diungkit mana-mana pihak.

"Kami menyangkal pertabalan ini menyusahkan rakyat malah dalam Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan serta pelbagai acara sampingan, puluhan ribu rakyat hadir sekali gus membuktikan program ini berjaya mendekatkan sultan dengan rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE