Katanya, jika situasi tersebut terjadi, mungkin Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri itu akan mula memahami erti kerajaan perpaduan dengan meminta pertolongan UMNO dan Pas bagi membentuk kerajaan negeri.

Ujar beliau, jika undi tidak percaya itu menumbangkan Mukhriz, tindakan itu juga akan menjadi sejarah besar bagi ne­geri ini iaitu Menteri Besar jatuh buat kali kedua hasil gerakan kerajaannya

MUHAMMAD SANUSI MD. NOOR
MUHAMMAD SANUSI MD. NOOR 

sendiri.

“Jika Amanah, PKR dan DAP membuat undi tidak percaya kepada Mukhriz sebagai Menteri Besar kerana terlalu banyak yang mereka tidak berpuas hati dengan prestasi beliau, mungkin MM (Mukhriz Mahathir) akan segera memahami erti UG (kerajaan perpaduan).

“Jika Bersatu meminta bantuan UMNO dan Pas untuk membentuk kerajaan negeri, gara-gara undi tidak percaya itu, kerana Menteri Besar selalu sangat berlama-lama di KL (Kuala Lumpur) berbanding tempat tugas hakikinya di Kedah, ia belum lagi sebuah UG.

“Ia mungkin menjadi kerajaan campuran sahaja. Ia cuma salah satu talian hayat untuk mengelak tertomoih (terjatuh) kali kedua,” kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah itu menerusi status dalam laman Facebooknya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sindiran Mukhriz mengenai desas-desus kemungkinan Pas dan UMNO merampas Kedah dan Perak melalui kerajaan perpaduan.

Tambah Muhammad Sanusi, Mukhriz tidak memahami konsep kerajaan perpaduan iaitu merujuk kepada kerajaan tanpa pembangkang apabila semua parti bersama-sama membentuk kerajaan.

“UG tidak terjadi dalam kalangan pembangkang yang tidak mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan se­perti di Kedah. UMNO dan Pas hanya bekerjasama (ta’awun) sebagai pembangkang yang kuat demi Islam dan Melayu.

“Ia adalah solidariti pembangkang atas kepentingan Islam dan Melayu yang kian terancam akibat dominasi mutlak DAP dalam PH,” katanya.