Bekas pegawai khasnya, Haris Che Mat berkata, kenyataan di­buat bekas ‘bosnya’ itu jelas menampakkan betapa Mukhriz dan PPBM berada dalam keadaan cukup ter­desak ketika parti tersebut gagal memenuhi syarat asas ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Sebagai bekas pegawai khas, saya ingin mengingatkan beliau betapa tugas-tugas penyelarasan dan pelaksanaan ketika beliau menjadi Menteri Besar satu ketika dulu kebanyakannya dijalankan oleh penjawat awam yang mahu dipecatnya itu.

“Justeru itu, beliau sepatutnya sedar akan hakikat betapa jasa penjawat awam ini cukup besar dalam memastikan pentadbiran negeri dan negara berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Mukhriz bahawa Pakatan Harapan yang dike­tuai DAP akan memecat semua pegawai tertinggi kerajaan yang tidak bersama mereka dalam masa 30 hari pertama selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semasa sesi dialog Tak Ado Apo Nak Sorok di Seremban, semalam.

Mengulas lanjut kata­nya, kenya­taan Mukhriz itu menunjukkan seolah-olah beliau sudah terlalu terpe­ngaruh dengan DAP sehingga sanggup membawa suara parti yang amat dibenci ba­panya satu ketika dulu.

“Selaku individu yang pernah­ rapat dengan beliau, saya nasihatkan Mukhriz dan PPBM berdepan pilihan raya umum kali ini secara gentleman dan tidak perlu menggertak, mengugut atau me­nyalahkan mana-mana pihak ter­utamanya ROS dan penjawat awam demi meraih undi simpati.

“Hakikatnya, ini adalah masa yang sesuai untuk rakyat melihat bagaimana wajah sebenar Pakatan Harapan diketuai DAP khususnya PPBM yang mana mereka sentiasa mencari jalan untuk mengalih isu serta meletakkan kesalahan kepada pihak lain ketika masing-masing gagal mengatasi kelemahan sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya individu seperti Mukhriz diberi ruang untuk memimpin, tidak mustahil negara ini akan turut rosak se­perti PPBM yang kini berada dalam keadaan cacamarba.

“Apa yang berlaku dalam PPBM menjadi petunjuk betapa beliau seorang pemimpin yang lemah dan gagal.

“Di kala mereka tidak dapat memenuhi syarat paling asas untuk menubuhkan parti iaitu dengan mengadakan mesyuarat cawangan dan bahagian sehingga tidak dapat menghantar minit mesyuarat kepada ROS, Mukhriz serta rakan seangkatannya berterusan mengelirukan rakyat dengan menabur janji kosong dan membuat kenyataan yang tidak sepatutnya,” katanya.