Timbalan Presiden UMNO dan Ketua UMNO Pagoh itu berkata, beliau menghormati kuasa prerogatif perdana menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet dan berjanji akan terus mencurahkan bakti demi memperkukuh parti.

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

“Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

“Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet, maka saya reda.

“Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

“Kepada Allah saya berserah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar mengenai pengumuman rombakan kabinet baharu Malaysia yang diumumkan Najib hari ini.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberikan peluang kepadanya berkhidmat di jawatan itu bermula 10 April 2009.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri,” katanya. - UTUSAN ONLINE