Ahmad Maslan

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ahli-ahli UMNO amat berharap pentas Perhimpunan Agung UMNO kali ini dapat menjadi saksi kepada penyatuan kembali pe­mimpin-pemimpin ber­kenaan yang sebelum ini membawa haluan ma­sing-masing selepas tidak sependapat dalam beberapa isu.

Menurutnya, parti berkenaan perlu dipimpin oleh satu nakhoda sahaja untuk kembali kuat dan mendapat sokongan rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Presiden UMNO sudah meng­hulurkan salam itu, maka langkah seterusnya perlu diambil oleh mereka dan menjadi harapan setiap ahli UMNO supaya pemimpin parti akan kembali bersatu.

“UMNO masih menyayangi kedua-dua pemimpin ini, justeru mereka perlu mengambil langkah besar untuk kembali bersama-sama di dalamnya, jangan dikerat tali la­yang-layang parti yang sedang terbang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam ucapan dasar Presiden UMNO semalam, Najib yang juga Perdana Menteri menyatakan kese­diaannya untuk berbaik-baik dan menerima kembali mana-mana pemimpin yang sebelum ini banyak menyerang parti itu dari dalam dan luar.

Ahmad berkata, perpaduan dalam kalangan pemimpin UMNO perlu dipulihkan segera kerana secara tidak langsung menge­ratkan kembali hubungan setiap ahlinya yang sebahagiannya berpecah ke­rana mengikuti haluan pemimpin yang disokong.