Bekas Timbalan Perdana Menteri itu, berkata, beliau mendengar dengan teliti ucapan dasar Presiden UMNO semalam dan peringatan tersebut bertepatan dengan apa yang telah dilakukannya selama ini.

“Sebagai Timbalan Presiden saya telah membantu Presiden UMNO menerajui jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil menerusi peranan saya sebagai Pengarah Pilihan Raya.

“Saya juga telah membantu Presiden UMNO memastikan kelicinan pengurusan dan pentadbiran UMNO menerusi peranan saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO. Saya juga telah membantu Presiden UMNO menangani pelbagai permasalahan parti,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Pada masa yang sama, kata Muhyiddin, sebagai Timbalan Presiden yang dipilih oleh ahli, beliau juga bertanggungjawab kepada parti dan ahli-ahli yang mana terdapat banyak suara akar umbi mengenai pelbagai permasalahan berkait dengan kepimpinan parti.

Justeru, katanya, menjadi tanggungjawab untuk beliau memberikan nasihat kepada Perdana Menteri supaya mendengar suara ahli-ahli parti di akar umbi dan segera memperbetulkan keadaan.

“Sebaliknya saya disingkir (daripada Kabinet), disisih malah dihalang daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden.

“Saya juga tidak dibenarkan berucap secara lazimnya dalam perhimpunan ini dan sudah tentu pandangan saya ini tidak dapat disampaikan kepada para perwakilan secara terus. Pentas dalam perhimpunan kali ini tidak sama rata,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Islam sememangnya menuntut supaya patuh dan taat kepada pemimpin dan hal ini juga disebut oleh Presiden UMNO dalam ucapan dasar beliau semalam.

“Pemimpin yang wajib ditaati ialah pemimpin yang taat kepada titah perintah Allah, amanah, jujur, berintegriti dan bersih, serta menjauhi perkara-perkara mungkar,” tegasnya.

Beliau berharap perbahasan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini, termasuk perbahasan mengenai usul ucapan dasar Presiden, menyentuh perkara-perkara penting yang dapat menarik semula kepercayaan rakyat kepada UMNO.

“Berbahaslah dengan jujur, ikhlas dan benar,” jelasnya.