Abdul Rahman Dahlan
Abdul Rahman Dahlan

Menurut beliau, tindakan Muhyiddin untuk terus memuat naik kenyataan dalam laman Facebook hanya memburukkan keadaan sekali gus gagal memenuhi tuntutan ahli yang mahu perbalahannya dengan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dihentikan.

“Peluang untuk menjernihkan hubungan antara kedua-dua pemimpin ini dimusnahkan oleh Timbalan Presiden melalui laman Facebook apabila beliau hari ini menuduh Presiden tidak amanah, tidak jujur, tidak berintegriti serta terlibat dalam perkara-perkara mungkar.

“Malah Muhyiddin menggambarkan Presiden sebagai orang yang tidak taat kepada titah perintah Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin dalam catatan Facebook ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO menegaskan, pemimpin yang wajib ditaati ialah pemimpin yang taat kepada perintah Allah, amanah, jujur, berintegriti dan bersih serta menjauhi perkara-perkara mungkar.

Abdul Rahman berkata, tuduhan terbaharu Muhyiddin dalam Facebook itu amat serius yang dibuat tanpa memberikan bukti.

“Tuduhan tidak taat kepada perintah Allah amat berat sekali bagi seorang yang beragama Islam. Ini tuduhan melampaui batas.

“Pertelingkahan dua pemimpin tertinggi parti bukan perkara kecil. Ia boleh mengakibatkan ketidakstabilan politik yang serius.

“Sebab itu MT merasakan jika dibenarkan Perhimpunan Agung UMNO ini dijadikan tempat untuk tuduh menuduh, ia akan melemahkan parti. Perwakilan akan pulang bukan dengan semangat kekeluargaan dan perpaduan sebaliknya dengan perasaan syak wasangka,” ujarnya.

Secara peribadi, Abdul Rahman menegaskan, apabila tuduhan itu melibatkan orang nombor satu dalam negara maka adalah dituntut supaya ia ditangani dengan lebih berhemah.

“Bayangkan jika tuduhan itu terbukti tidak berasas, sudah tentu kerosakan kepada integriti Presiden dan parti tidak mungkin dapat diperbaiki.

“Sebab itulah ia perlu ditangani melalui landasan yang betul bukannya melalui `roadshow’ atau media sosial,” ujarnya.