Mohd. Salleh Said Keruak
Mohd. Salleh Said Keruak

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak berkata, sekiranya pemimpin nombor dua parti itu terus mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan keputusan yang dibuat parti, dikhuatiri akan menimbulkan persepsi buruk rakyat terhadap UMNO sebagai sebuah parti yang berpecah belah.

“Apa yang penting, semua kita perlu bersatu padu menghadapi cabaran politik masa depan. Beliau (Muhyiddin) kena terima hakikat bahawa dalam parti, kita mempunyai seorang Pre­siden (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang mendapat sokongan padu daripada ahli.

“Tanggungjawab beliau untuk bantu Pre­siden UMNO dan se­kiranya mempunyai pendapat yang berbeza, beliau boleh me­nyampaikannya mene­rusi sa­luran dalaman parti dan akhirnya parti yang akan buat keputusan,” katanya ditemui Mingguan Malaysia semasa melawat Bilik Operasi Utusan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, dalam sistem demokrasi, keputusan parti dibuat secara majoriti dengan persefahaman ahli dan kemudiannya keputusan tersebut harus didokong oleh semua ahlinya.

Bagaimanapun, me­nurutnya, seseorang pe­mimpin itu tidak boleh memaksa semua pendapatnya diterima dan juga harus menghormati pandangan yang berbeza daripada pemimpin lain.

“Bersatu padu bukan bermakna kita semuanya bersetuju, bersatu padu bukan bermaksud kita tak ada perbezaan. Tetapi apabila parti buat keputusan, adalah menjadi tanggungjawab kita sokong dan laksa­nakan keputusan itu.

“Kita berhak beri pendapat, tapi kita juga kena hormati pendapat yang berbeza. Contohnya, dalam soal penggulungan, iaitu Majlis Tertinggi (MT) telah membuat keputusan bahawa hanya Presiden UMNO yang membuat ucapan penggulungan (pada perhimpunan agung),” katanya.

Ditanya kenyataan Muhyiddin bahawa beliau tidak akan meminta maaf kepada sesiapa walaupun Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata masih ada ruang bagi Timbalan Presiden itu dan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk memohon maaf demi memperkukuhkan parti, Salleh berpendapat, perkara itu tidak timbul kerana Najib tidak pernah meminta mereka berbuat demikian.