Bagaimanapun, Presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau mengetepikan masalah itu untuk datang berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi memastikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Inilah pertama kali saya melangkah keluar dari Kuala Lumpur dan berucap kerana untuk menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan yang bertanding dalam PRK ini, " katanya dalam majlis ramah mesra di Masjid Kariah Bagan Pinang di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Menteri Dalam Negeri itu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas pada 12 Julai lalu dan kini menjalani rawatan susulan.

Menurut Muhyiddin, kehadiran beliau bukan saja untuk memastikan kemenangan Anwar tetapi juga menunjukkan kerjasama padu dalam PH.

Beliau menegaskan, sudah ada kesepakatan dalam PH untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Dalam muafakat kita apabila sampai masa yang sesuai dan berpatutan, Anwar akan dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan. Apa yang dilakukan di Port Dickson adalah terkandung dalam muafakat PH," katanya. - UTUSAN ONLINE