Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendirian Muhyiddin dikhuatiri berdasarkan keputusan pakatan pembangkang yang di­dominasi DAP iaitu jelas menolak akta berkenaan.

Malah dakwa beliau, tindakan itu merupakan satu pemuafakat­an dalam pakatan pembangkang walaupun secara individu ramai yang didapati menyokong tetapi terpaksa akur dengan ketentuan pakatan itu yang diketuai DAP.

“Sebab itu kita dengar pe­mimpin-pemimpin Pas yang hampir separuh hayat berjuang tentang isu ini (RUU 355) apabila bertukar parti dan tidak lagi berada dalam Pas serta menjadi rakan kepada pakatan pembangkang.

“Kita tengok nada mereka pun sudah berubah walaupun menyentuh soal agama,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Annuar berkata, perkara itu juga jelas membezakan pendirian UMNO dengan pembangkang kerana mereka sanggup mele­takkan kepentingan parti berbanding agama.

“Ini menunjukkan titik yang sebenar-benarnya menguji pendirian kita dalam berpolitik. Biar rakyat menilai mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar turut menyelar perbuatan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang secara melulu menentang RUU355 selain menyifatkannya sebagai tidak menghormati berdasarkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, perkara yang menyentuh mengenai agama Islam juga perlu dibincangkan secara tertib oleh mana-mana kaum bagi menghormati kedudukan agama tersebut sebagai agama rasmi.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perbuatan pusingan U politik dalam kalangan pembangkang sudah menjadi kebiasaan.

Bahkan katanya, sehingga hari ini pandangan pembangkang berkaitan RUU 355 tidak sehaluan, berbanding

Barisan Nasional (BN) yang mempunyai pendirian tetap.

“Satu hari kita dengar panda­ngan ini, esok pula berubah. Sukar untuk menilai pendirian mereka.

“Jadi kalau pembangkang se­ring mempunyai pandangan berbeza, mungkin ada yang ter­pengaruh dengan politik persekitaran mereka,” katanya.