Berdasarkan pemerhatian saat akhir, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan masih menjadi pilihan, mengatasi tiga calon lain termasuk Dr. S. Streram, seorang pakar bius yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Serangan peribadi dilancarkan hari-hari terhadap Mohamad, tetapi Timbalan Presiden UMNO itu tetap kelihatan tenang, sedikitpun tidak goyah.

Dibawa pula seorang pakar strategi, meriah pekan Rantau malam kelmarin, tetapi keadaan tetap sama, sokongan penduduk tidak dilihat berubah.

Hingga ke saat akhir sebelum tempoh berkempen tamat tengah malam ini, sokongan rakyat Rantau nampak lebih berpihak kepada Tok Mat.

Ditambah pula dengan suntikan semangat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam semalam, Tok Mat nampaknya hanya tinggal sehari untuk sekali lagi bergelar wakil rakyat.

Muafakat UMNO yang sinonim bersongkok hitam serta Pas yang selalu berkopiah putih dalam kalangan ahlinya sekali lagi akan teruji, kali ini di Rantau, kebetulan ia ditandingi Tok Mat, individu penting di sebalik permuafakatan tersebut.

Selepas berjaya di Cameron Highlands dan Semenyih, kenapa tidak di Rantau. Kehadiran ramai penyokong Pas di Taman Angsamas dalam ceramah perdana memberi petanda muafakat tersebut makin kuat.

Ada muafakat, semua selamat. Pilihan di tangan rakyat Rantau sama ada itu akan menjadi pertimbangan mereka untuk memberikan kemenangan hatrik buat BN esok. Selamat mengundi semua. - UTUSAN ONLINE