Ketua UMNO Bahagian Silam itu berkata, dakyah pembangkang bahawa beliau dijadikan kambing hitam tidak benar sama sekali, sebaliknya tindakan tersebut hanya bertujuan mempengaruhi minda rakyat untuk beralih sokongan kepada mereka.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu itu berikrar akan terus setia dan memperjuangkan UMNO agar kekal menjadi pilihan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

“Walaupun saya berdepan cabaran ini, ia tidak menggugat kesetiaan saya kepada pemimpin negeri dan Pusat, saya berikrar untuk terus bersama UMNO.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada semua ahli UMNO Kawasan Lahad Datu khususnya di Silam yang berikan sokongan moral untuk sama-sama menghadapi ujian ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Perubatan Jesselton di sini petang ini.

Menurut Mohd. Yusof, 57, penahanan tersebut adalah prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilakukan SPRM bagi memastikan siasatan berjalan dengan baik tanpa.

Justeru, beliau sedikit pun tidak terasa hati dengan tindakan berkenaan, malah mengucapkan terima kasih kepada agensi itu yang memberikan layanan baik sepanjang enam hari dia di dalam lokap.

“Saya ucapkan terima kasih kepada SPRM kerana layanan mesra mereka, malah tiada perkara yang tidak mengikuti SOP.

“Ada dua kali saya sakit mereka menghantar saya ke hospital kerajaan untuk menerima rawatan, walaupun terpaksa menunggu lama tetapi saya telah dirawat dengan baik,” katanya yang dimasukkan ke pusat perubatan itu sebaik sahaja dibebaskan kelmarin kerana menghidap buasir. - UTUSAN ONLINE