Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Shahar Abdullah berkata, Mohd. Puad perlu  menjadi seorang ahli UMNO yang berjiwa besar dan percaya dengan usaha yang sedang dibuat untuk mengembalikan semangat parti. 

“Mohd. Puad perlu sedar bahawa untuk memimpin parti yang pertama kali duduk di kerusi pembangkang setelah 61 tahun berkhidmat sebagai parti yang memerintah, bukan sesuatu yang mudah. 

“Ia memerlukan iltizam yang tinggi malah cara kita tidak boleh lagi sama seperti dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini. 

Beliau berkata, semua  ahli dan penyokong UMNO perlu  beri peluang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  untuk menggunakan caranya tersendiri dalam menghadapi pelbagai isu yang sedang melanda parti. 

“Dengan akaun parti yang masih dibekukan oleh SPRM, Presiden dan kepemimpinan parti juga terpaksa mengikhtiarkan kos lain untuk menggerakkan rancangan serta manifesto parti.

“Saya percaya  Ahmad Zahid tidak pernah lari dari asas politik UMNO, cuma keadaannya sekarang memerlukan pendekatan yang berlainan dan inklusif,” katanya. 

Beliau  meminta  supaya semua ahli parti secara bersama-sama mentadbir segala hal ehwal parti secara lebih bersopan. 
“Bukan dengan cara menguar-uarkan ketidakpuasan hati kerana rakyat sedang menilai setiap gerak-geri kita. Janganlah ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’,”  katanya. - UTUSAN ONLINE

KENYATAAN PENUH
PRESIDEN PERLUKAN KEPERCAYAAN AHLI YANG KONSTRUKTIF

1. Sebagai ahli UMNO, saya menghormati pertanyaan Datuk Puad Zarkashi kepada Presiden UMNO mengenai hala tuju parti kerana beliau sememangnya berhak untuk mengetahuinya.

2. Walau bagaimanapun, saya memohon agar Datuk Puad menjadi seorang ahli UMNO yang mempunyai jiwa yang besar dan percaya dengan usaha yang sedang dibuat untuk mengembalikan semangat parti, sekali gus tidak mengeruhkan keadaan dan mewujudkan situasi yang tidak selesa dalam parti keramat ini dengan kenyataan-kenyataan seperti ini.

3. Datuk Puad perlu sedar bahawa untuk memimpin parti yang pertama kali pertama duduk di kerusi pembangkang setelah 61 tahun berkhidmat sebagai parti yang memerintah, bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan iltizam yang tinggi malah cara kita tidak boleh lagi sama seperti dahulu.

4. Beri peluang kepada Datuk Seri Ahmad Zahid yang baru sahaja 19 hari mengemudi parti untuk menggunakan caranya tersendiri dalam menghadapi pelbagai isu yang sedang melanda UMNO kini.

5. Dengan akaun parti yang masih dibekukan oleh SPRM, Presiden dan penjawat parti juga terpaksa mengikhtiarkan kos lain untuk menggerakkan rancangan serta manifesto parti.

6. Saya percaya Datuk Seri Ahmad Zahid tidak pernah lari dari asas politik UMNO, cuma keadaannya sekarang memerlukan pendekatan yang berlainan dan inklusif.

7. Jadi, bersama-samalah kita mentadbir segala hal-ehwal parti secara lebih bersopan, bukan dengan cara mewar-warkan ketidakpuasan hati kerana rakyat sedang menilai setiap gerak geri kita. Janganlah ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

YB MOHD SHAHAR BIN ABDULLAH
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli Parlimen Paya Besar
19 Julai 2018