Apa yang berlaku di Sela­ngor ketika ini contoh terbaik bagaimana kalutnya sebuah pakatan politik sehingga me­nyaksikan segala pekung hodoh terlondeh hanya kerana perebutan kerusi pilihan raya antara PKR, DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Label Joker, ‘PAN tidak ama­nah’ dan ‘tidak layak menjadi Menteri Besar’ meniti di bibir pemimpin Pakatan Harapan sejak beberapa hari lalu sekali gus membayangkan betapa parah­nya kemelut politik yang berpunca aki­bat sifat tamak, dendam dan tidak ikhlas itu.

Difahamkan, isu kebuntuan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi api dalam sekam kepada Pakatan Harapan di Selangor ini sebenarnya bermula sudah lama, berpunca daripada sikap Menteri Besar Se­langor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba berunding melalui pintu belakang dengan Pas.

Tindakan Mohamed Azmin itu mudah difahami kerana beliau cukup tidak senang duduk jika berlaku pertembungan tiga penjuru kerana risikonya bukan sahaja Pakatan Harapan mungkin tewas di Selangor, malah kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa juga akan kepanasan.

Ironinya setelah kecoh satu negara dengan siri berbalas serangan hingga sudah ada kempen di media sosial ‘Pakatan Harapan Tanpa Azmin’, Menteri Besar Selangor itu hari ini putar cerita kononnya yakin masalah tersebut dapat diselesaikan dalam suasana kekeluargaan.

Entah sandiwara apa cuba Mohamed Azmin momokkan kepada rakyat Selangor atau beliau sememangnya mendapat inspirasi daripada watak Joker sepertimana label PAN kepadanya, sementelah watak tersebut cukup sinonim dengan perlakuan tidak masuk akal.

Kalau benar sekalipun pergolakan dalaman antara Pakatan Harapan dapat diredakan dalam masa terdekat, rakyat sebenar­nya sudah cukup matang dan celik politik, mereka sedar penyelesaian itu hanya sandiwara atau cubaan menyembunyikan masalah di bawah karpet.

Malah, tiada sebarang jaminan pergolakan sama tidak akan berulang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti seandainya Pakatan Harapan kembali meme­rintah Selangor dan jika ia berlaku, pastinya lebih teruk kerana ma­sing-masing berebut kuasa pula.

Soalnya kini, berapa lama Pakatan Harapan mampu bertahan kerana sejarah penyingkiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tertendangnya Datuk Dr. Hasan Ali dan terbuangnya Pas sudah cukup membuktikan kemelut ini tidak ubah seperti bom jangka, hanya menunggu waktu untuk meledak sepenuhnya.