Timbalan Presiden UMNO itu berkata, malah pada awalnya beliau bercadang untuk tidak merayu keputusan mahkamah baru-baru ini yang membatalkan kemenangan tanpa bertandingnya di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Saya tak takut menghadapi pilihan raya. Malah saya sendiri ralat kerana tak dapat bertanding dalam PRU-14 dulu, secara mentalitinya saya sudah bersedia.

"Saya yakin orang Rantau boleh buat pertimbangan waras. Di Negeri Sembilan kena ada pembangkang untuk semak dan imbang kerajaan. Rakyat perlu beri mandat kepada Barisan Nasional (BN) kerana jika tidak, kerajaan akan buat sewenang-wenangnya," katanya.

Beliau yang memenangi kerusi DUN Rantau sejak 2004 berkata demikian dalam Wacana Semasa Pasca PRK N27 Rantau yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook, UMNO Perhubungan Negeri Sembilan malam ini.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah serta mengarahkan PRK diadakan

serta-merta.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohamad menafikan dakwaan bahawa kerajaan BN mengamalkan diskriminasi kaum sepanjang 60 tahun pentadbirannya dan ini boleh dilihat dari segi kekayaan dan kejayaan kaum lain di negara ini.

"Cuba kita tengok siapa yang ramai jadi akauntan bertauliah, jurutera dan arkitek. Cuba tengok di Bukit Bintang siapa punya premis perniagaan. Saya tak kisah jadi warganegara kelas dua kalau saya kawal Kuala Lumpur atau Seremban. Sepatutnya orang Melayu yang bising, tapi dia pula bising.

"Ramai profesional di negara ini bukan Melayu, jutawan di negara ini ramai bukan Melayu. Begitu juga pegangan hartanah komersial, orang Melayu sekadar di kampung, tanah adat itu pun terpaksa berkongsi," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan Pakatan Harapan berhenti menyalahkan BN sebaliknya memberi tumpuan kepada menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

Ujarnya, rakyat ketika ini gelisah dengan situasi ekonomi negara dan ketidakstabilan politik selepas PRU-14 kerana tidak ada satu parti yang dominan dalam kerajaan berbanding semasa pemerintahan BN. - UTUSAN ONLINE