Timbalan Presiden UMNO itu berkata, sebagai anak tempatan di Rantau, beliau tidak pernah membeza-bezakan pengundi berdasarkan kaum mereka.

“Saya tidak ada fokus hanya kepada pengundi kaum tertentu. Saya akan berjumpa seramai mungkin pengundi.

“Semalam saya telah mula berjalan dari rumah ke rumah, taman ke taman, kampung ke kampung untuk mendekati pengundi,” katanya ketka ditemui pemberita selepas penamaan calon di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini menyaksikan persaingan empat penjuru. Selain Mohamad yang juga penyandang kerusi, tiga lagi calon ialah Dr. S. Streram dan dua calon Bebas, R. Malarvizhi, 51, dan Mohd. Nor Yassin, 67.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau pada awalnya menjangkakan sekurang-kurangnya lima calon akan bertanding dalam PRK Rantau.

“Yang beli borang pencalonan ramai lagi dan saya jangka lebih daripada empat. Saya ingatkan hari ini sekurangnya-kurangnya lima calon, tetapi tak mengapalah. Lebih sikit calon lebih mudah untuk kita berkempen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tidak ada isu berhubung pembangunan di DUN Rantau kerana kawasan berkenaan mengalami banyak perubahan sepanjang tiga penggal beliau menjadi wakil rakyat dan Menteri Besar.

“Kemudahan asas sudah ada. Cuba kita tengok betapa cantiknya SJKC Bandar Sri Sendayan ini, begitu juga sekolah Tamil, juga ada Pangkalan Udara (Tentera Udara Diraja Malaysia) di sini. Kawasan ini terletak di dalam DUN Rantau,” katanya. - UTUSAN ONLINE