Katanya lagi, beliau akan sedaya upaya menemui seramai mungkin pengundi di Rantau bagi meneruskan keyakinan mereka kepada BN selain mengakui faktor keadaan politik ketika ini yang dinamik serta memungkinkan apa sahaja perkara boleh berlaku.

“Walaupun pengundi-pengundi di Rantau mengenali saya, tetap saya akan cuba untuk menemui seramai mungkin. Ada yang rasa bersalah bila saya pergi menemui mereka, tetapi kerana kempen saya pergi jumpa untuk terus meyakinkan mereka.

“Dalam politik, ia dinamik, tidak statik, boleh jadi hari ini mereka menyokong saya, tapi nanti masuk macam-macam dikhuatiri mereka akan mengubah pendirian. Jadi saya tidak boleh rasa selesa dan mengambil mudah tentang kempen pilihan raya kali ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamad yang juga merupakan Timbalan Pengerusi BN dalam pada itu menambah, kemenangan di Rantau adalah penting kepada kedua-dua parti yang bertanding iaitu sama ada Pakatan Harapan (PH) mahupun BN.

“Itu sebabnya ada pemimpin PH katakan PRK Rantau ini ibu kepada semua PRK, ia bukan kerana tentang kerusi DUN ini tetapi individu yang bertanding iaitu Mohamad Hasan. Mereka mahu mematikan momentum kebangkitan BN serta menghentikan saya di sini.

“Bagi UMNO dan BN pula kita mahu kekalkan momentum baik selepas menang di Cameron Highlands dan Semenyih dan boleh menang di Rantau.

“Kita akan meneruskan agenda menyatupadukan rakyat, ummah dan bekerjasama dengan parti-parti yang tidak berada dalam PH untuk membentuk satu blok pembangkang untuk kita semak dan imbang prestasi kerajaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE