Sehubungan dengan itu, Pilihan Raya Kecil DUN Rantau perlu diadakan dalam masa terdekat.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ri­chard Malanjum yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan untuk menolak rayuan Mohamad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas alasan rayuan yang dibuat tidak mempunyai merit.

Malanjum ketika memutuskan pembatalan kemenangan Mohamad berkata, wakil PKR, Dr. S. Streram mempunyai locus standi (hak yang sah di sisi undang-undang) untuk mengemukakan petisyen pilihan raya.

Setiap perayu turut dipe­rintahkan untuk membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Streram.

“Kami dengan ini menolak rayuan perayu dengan kos, dan berpendapat pilihan raya kecil bagi DUN Rantau perlu diadakan,” katanya.

Peguam Mohammed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili  Streram berkata, mahkamah memutuskan rayuan kedua-dua pihak tidak bermerit dan tidak menjejaskan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban sebelum ini.

“Ia bermaksud pilihan raya kecil perlu diadakan. Notis perlu dihantar kepada SPR secepat mungkin dan pilihan raya kecil akan diadakan,” katanya.

Tambah beliau, keputusan itu membuktikan mana-mana pihak yang merupakan rakyat Malaysia berkelayakan menjadi calon tidak boleh dihalang oleh sesiapa sahaja untuk menjadi calon.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup berjaya mengekalkan kerusi­nya selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan ra­yu­an yang difailkan calon PKR, Raymond Ahuar.

Raymond turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM40,000.

Selain itu, mahkamah sama turut memerintahkan agar petisyen pilihan raya yang difailkan bagi Parlimen Kimanis, Sipitang dan Jasin dibicarakan semula di Mahkamah Khas Pilihan Raya.

Parlimen Sipitang kini disandang oleh bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman manakala Parlimen Sipitang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Yamani Hafez Musa. Bagi Parlimen Jasin yang akan dibi­carakan semula di Kuala Lumpur, penyandang kawasan terbabit ialah calon BN, Ahmad Hamzah.