Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden itu berkata, sebagai anak tempatan di Rantau, beliau tidak pernah membeza-bezakan pengundi berdasarkan kaum.

“Saya tidak fokus hanya kepada kaum tertentu. Contohnya hanya jumpa pengundi kaum Melayu atau bukan Melayu.

“Sebaliknya saya akan manfaatkan hubungan rapat yang wujud untuk berjumpa seramai mungkin pengundi sepanjang 14 hari berkempen. Semalam saya telah mula berjalan dari rumah ke rumah, taman ke taman, kampung ke kampung untuk mendekati pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penamaan calon di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini menyaksikan persaingan empat penjuru. Mohamad yang merupakan penyandang kerusi akan dicabar oleh Dr. S. Streram daripada Pakatan Harapan (PH) dan dua calon bebas iaitu Mohd. Nor Yassin, 67, serta R. Malarvizhi, 51.