Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Rumah UMNO itu walaupun sudah berusia 71 tahun, namun tiang serinya masih utuh dan kukuh.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri mengajak semua ahli UMNO menolak, sekali gus tidak melayan mereka yang menentang parti tersebut.

“Kita yang ada di rumah UMNO ini perlu bertanggungjawab untuk pastikan tidak ada mana-mana bekas tokoh cuba membaling batu ke rumah dan cermin tingkap kita.

“Kita tahu bukan mudah untuk mempertahankan Rumah UMNO ini yang sudah berusia...tetapi rumah ini kukuh, tiang serinya juga masih kukuh, cuma ada sikit lubang di lantai, begitu juga bumbung, namun ia boleh diperbaiki,” katanya ketika me­rasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jaz­lan Mohamed yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri; wakil Menteri Besar, Datuk Ayub Rahmat dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Md. Jais Sarday.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terus bernostalgia dan biarkan sejarah menjadi cermin, sekali gus tidak mahu ahli-ahli­nya selalu menoleh ke belakang.

“Cermin kita untuk lihat belakang sama ada kita nak belok atau jalan terus tapi itu cermin...kita jangan pernah toleh belakang terutama dalam perjuangan yang kita lakukan. Perjuangan kita perlu teruskan,” katanya