Tidak ramai penyokong yang hadir sekitar - 300 orang - di Bilik Operasi PH di Kadok, Kota Bharu. 


Walaupun tidak ramai tetapi majlis itu agak kelam kabut. Sengaja dicipta supaya kelam kabut atau sebaliknya tidak diketahui kerana dicelah-celah pengumuman itu ada peristiwa tidak dapat dicerap oleh hadirin. 


Peristiwa itu tidak seperti kebiasaan pengumuman bakal calon parti-parti politik yakni semua yang terpilih akan naik ke pentas namun tuan empunya diri kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka tidak muncul biarpun pengerusi majlis telah menyebut nama MOhamad Omar. 


Tetapi tiada siapa pun ambil peduli kerana pada ketika itu, hadirin yang datang sedang berseronok untuk meraikan bakal calon DUN Panchor, Zulhazmi Hassan yang juga Ketua Pemuda PAN. Zulhazmi atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Jeming Hasan’ merupakan ‘budak’ Husam Musa - Penasihat PAN Kelantan - amat popular kerana kerja-kerjanya yang agak agresif. 


Malah slaid memaparkan gambar calon bagi DUN Chempaka juga ‘hilang’ dan dilangkaui dengan gambar calon seterusnya iaitu DUN Panchor ketika nama Mohamad Omar diumumkan tetapi tiada siapa ambil peduli kerana Jeming Hasan lebih popular.


Dan hari ini, baru ramai yang sedar khususunya golongan wartawan mengenai perkara itu maka timbullah cakap-cakap bahawa Mohamad Omar sebenarnya Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kedua kepada Allahyarham bekas Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan.


Dengan itu jugalah tersebar cerita bahawa Nik Omar akan muncul di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan negeri di Pengkalan Chepa semalam untuk menyerahkan borang pencalonan bertanding di kerusi yang ditinggalkan oleh almarhum bapanya. 


Perlu juga diingat Nik Omar tidak perlu muncul di pusat penamaan calon untuk menjadi calon, cukup sekadar ada pencadang dan penyokong membawa borangnya ke muka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 


Kata khabar angin yang dikatakan benar itu lagi, Nik Omar akan melanggar nasihat ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak supaya tidak terlibat dengan politik disebabkan pandangannya yang berbeza dengan ahli keluarganya. 


Perbezaan itu jelas dalam jawapannya ketika ditemubual selepas Pengerusi PAN negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengumumkan namanya sebagai calon Menteri Besar Kelantan sekiranya gabungan pembangkang PKR itu menang. 


Dikhabarkan juga gabungan pembangkang itu juga cuba sedaya upaya untuk menutup cerita kemunculan Nik Omar daripada diketahui khalayak kerana bimbang hasrat mereka supaya pendidik itu menjadi calon tidak menjadi kenyataan disebabkan gangguan pada saat terakhir sehingga tersebar khabar beliau telah disembunyikan oleh PAN. 


Apa pun Wan Abdul Rahim dan Husam sememangnya sudah diketahui bijak mencari publisiti di media. Khabar Nik Omar ini tidak tahu betul atau tidak tetapi yang penting pengumuman calon yang suram itu sudah mula disuluh ramai.


Apakah benar Nik Omar akan bertanding hanya esok jawapannya tetapi gabungan pembangkang PKR sudah mendapat perhatian. - UTUSAN ONLINE