Pengerusi BN Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, perubahan iklim politik sedang melanda seluruh negara dan Kelantan juga tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya.

Sehubungan itu katanya, peluang untuk mana-mana parti yang bertanding di parlimen ini adalah sama rata, termasuk DAP yang dikatakan mahu mencuba nasib bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama.

"DUN Kota lama secara tradisi milik MCA, jadi tidak kira siapa lawannya, sama ada DAP, Pas, PAN, PKR atau PPBM, kita lawan. Namun kita tidak akan memandang rendah kemampuan jentera pihak lawan.

"Semua sedia maklum perubahan iklim politik sekarang, jadi peluang yang kita ada amat baik sekali. Tinggal kerja keras sahaja kerana kejayaan tidak datang bergolek.

"Jentera BN sama ada UMNO, MCA, MIC dan Gerakan akan bekerjasama dan pastikan kemenangan milik kita," katanya ketika ditemui dalam sesi Town Hall bersama masyarakat Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Cheng, di sini hari ini.

Sesi Town Hall bagi membincangkan permasalahan penduduk setempat itu turut dihadiri Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Rombongan diketuai Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga meluangkan masa menziarahi seorang warga emas yang menghidap kencing manis, Teo Chai Huai, 62 di rumahnya di Jalan Kelochor, di sini . - UTUSAN ONLINE