Calon tersebut akan diumumkan pada pukul 11 pagi ini.

Parlimen Cameron Highlands secara tradisinya adalah milik MIC, namun dikatakan parti kaum India itu telah menarik diri daripada mencalonkan wakilnya.

Hal demikian dikatakan telah membuka laluan kepada UMNO untuk bertanding di Parlimen tersebut yang terletak dalam negeri penguasaan Barisan Nasional (BN), Pahang.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, calon yang akan diumumkan telah mendapat persetujuan MIC dan MCA.

“Pucuk pimpinan BN telah bermesyuarat dan berbincang bagi memilih calon yang sesuai untuk mewakili parti kerana PRK ini amat penting.

“Ia akan menjadi ukuran sejauh mana keberkesanan kita (UMNO) dan BN masih lagi berada dalam hati rakyat, terutama Cameron Highlands yang perlu kita pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, di sini malam tadi.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Parlimen Cameron Highlands yang dimenangi calon MIC, Datuk C. Sivarraajh terbatal selepas dikatakan terbukti wujud amalan rasuah.

Semasa PRU-14, Sivarraajh menewaskan empat calon lain apabila memperolehi 10,307 undi, mengatasi M. Manogaran (Pakatan Harapan-DAP) yang menerima 9,710 undi,

Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas) 3,587 undi,

B. Suresh Kumar (Parti Sosialis Malaysia-PSM) dengan 680 undi manakala Mohd. Tahir Kassim (Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) 81 undi.

Namun pemerhati politik melihat, apabila Pas membuat keputusan tidak bertanding dalam PRK tersebut, calon UMNO berpeluang cerah mengatasi DAP yang mencalonkan semula Manogaran.

DAP dilihat bersungguh-sungguh mahu memenangi PRK itu bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai parti kedua terbanyak memiliki kerusi Parlimen.

Pemerhati juga melihat pertambahan kerusi Parlimen oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak PRU-14 memberi tekanan kepada DAP untuk turut sama ‘berlawan’ menambahkan bilangan ahli Parlimennya. - UTUSAN ONLINE