AHMAD ZAHID HAMIDI

Beliau yang dilantik menggantikan Muhyiddin berkata, meskipun tersebar rakaman video perbualan mengenai Perdana Menteri tetapi apa lebih penting bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah menyatakan pendiriannya untuk kekal bersama parti.

Menurutnya, segala spekulasi negatif perlu dielakkan kerana Muhyiddin sebenarnya telah banyak menyumbang kepada kerajaan serta parti, selama beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO.

“Saya sendiri bercakap dengan Muhyiddin. Rakaman itu bukan saluran rasmi beliau, sebagaimana yang terdapat dalam rakaman berkenaan. Ia jadi viral kerana seolah-olah terdapatnya pandangan antagonistik yang dilakukan oleh Muhyiddin.

“Sebenarnya pendirian Muhyiddin jelas, beliau tetap sokong parti. Muhyiddin juga menyatakan jika ada pihak yang mahu membawa undi tidak percaya (terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat), beliau tidak menyokong.

“Ertinya pendirian beliau amat jelas, beliau hendak terus bersama dengan kepemimpinan parti dan kerajaan,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beberapa hari lalu tersebar video perbualan Muhyiddin bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengenai dakwaan sejumlah besar wang telah dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya apakah kandungan perbualan tersebut memungkinkan Timbalan Presiden UMNO tersebut dikenakan tindakan tatatertib oleh parti, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Muhyiddin berada dalam keadaan sedih ketika memperkatakan perkara itu.

“Saya memahami keadaan itu, siapa pun dalam situasi sedih atau semua orang yang berada dalam keadaan begitu akan menyatakan apa sahaja yang difikirkannya, itu sebab saya menyebut kita harus menghormati keadaan itu,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah mustahil Perdana Menteri dapat memuaskan hati semua pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap pembentukan Kabinet baharu beliau.

“Mustahil kalau dapat 100 peratus puaskan hati semua. Tapi, oleh kerana kuasa mutlak di tangan Perdana Menteri, tentu beliau mempunyai beberapa pandangan sebelum pengumuman pelantikan dibuat dan perkara itu perlu dihormati semua pihak,” katanya.