Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, individu yang mempunyai sema­ngat cinta akan negara tidak akan membenarkan campur tangan asing dalam urusan pentadbiran negara.

“Tindakan meminta campur tangan asing ini seolah-olah menjemput penjajah untuk mengambil alih urusan pentadbiran negara kita sebagaimana yang berlaku pada zaman pemerintahan British dahulu.

“Ini bukan atas dasar menyokong mana-mana parti sebaliknya atas dasar prinsip yang saya pegang sejak dahulu lagi iaitu tidak membenarkan kuasa asing mempengaruhi pentadbiran negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, PKR tampil mempertahankan tindakan DAP yang didakwa meminta campur ta­ngan negara asing untuk mencaturkan politik negara seperti yang didedahkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Menurut laporan tersebut, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, mana-mana pihak yang mengadakan rundingan dengan negara asing merupakan satu perkara biasa dan tindakan sedemikian tidak semestinya perlu dikaitkan dengan soal mencampuri kedudukan sesebuah negara.

Dalam pada itu, Presiden Jari­ngan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, mereka (PKR dan DAP) sering menggunakan taktik campur ta­ngan asing apabila terdesak.

“Tindakan tersebut bukan untuk kepentingan rakyat sebaliknya atas faktor agenda pemimpin yang rakus akan kuasa. Malah, anasir asing menunggu peluang ini untuk mengambil alih urusan ekonomi dan politik negara kita,” katanya.

“Rakyat harus bijak menilai dan tidak membiarkan agenda politik pembangkang mempengaruhi mereka yang akhirnya memusnahkan perpaduan dan keharmonian yang telah dikecapi selama berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya.