Malah situasi pecat-memecat ini juga acap kali berlaku apabila sesetengah pemimpin itu dikatakan tidak sehaluan dengan Pengerusi Bersatu negeri, Ameir Hassan.


Dan pendedahan Wan Saiful Wan Jan semalam mengenai skandal melibatkan ratusan ribu ringgit membabitkan parti itu di Perlis adalah kemuncak kepada kemarahan sesetengah pemimpin parti tersebut yang mahu Bersatu pusat segera campur tangan dan menggugurkan barisan kepemimpinan negeri.


Difahamkan hampir seluruh ahli jawatan kuasa parti di Bahagian Arau sebelum ini pernah menghantar petisyen menggesa Ameir segera dipecat.


Setiausaha Bersatu Bahagian Padang Besar, Syed Nawawi Syed Abd. Rahman berkata, masalah melibatkan kepemimpinan negeri ini sudah lama berlaku iaitu sejak sebelum pilihan raya lagi.


Katanya, jika dilihat ahli jawatan kuasa di dalam pimpinan negeri ini kerap bertukar kerana dikatakan ‘tidak sebulu’ dengan pengerusi.


Ujar beliau, pihaknya sudah membuat aduan kepada Bersatu pusat namun sehingga hari ini tidak ada tindakan diambil.


“Dia (Ameir) akan pilih seseorang namun apabila mereka berbeza pendapat akan dipecat. Kita parti baharu, perkara-perkara seperti ini termasuk isu penyelewengan tidak patut ada.


“Bila jadi begini rakyat akan kata apa beza Bersatu dengan UMNO. Kita tidak mahu ada anggapan seperti ini. Saya harap pusat dapat bubar kepemimpinan dan ganti muka baharu yang lebih bersih” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Tambahnya, dia juga terkejut dengan pengguguran Wan Saiful kerana Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu telah memainkan peranan berkesan sepanjang menjawat jawatan sebagai setiausaha negeri.


Sementara itu, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Arau, Maton Din pula meminta Bersatu pusat menggantung kepemimpinan negeri sehingga isu tersebut selesai.


Katanya, sebaiknya Majlis Pimpinan Pusat perlu memantau kepemimpinan Bersatu negeri kerana hal tersebut sudah mendapat perhatian meluas.- UTUSAN ONLINE