Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam berkata, calon yang bakal dipilih nanti diyakini mampu membantu Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi tersebut.

Tambah Subramanian, kemenangan tersebut amat mustahak dan merupakan satu keperluan bagi membolehkan masyarakat India mempunyai wakil dalam kerajaan negeri.

"Memang menjadi impian kita (MIC), masyarakat India ada wakil dalam mesyuarat Exco. Bila jadi kenyataan ia satu kegemilangan untuk kita.

"Kali ini kita (masyarakat India) dapat betulkan kesilapan yang telah berlaku supaya dapat pastikan ada seorang wakil untuk suarakan masalah kita. Saya harap yang ada di sini faham keadaan ini dan betulkan semula keadaan pada PRU-13 lalu," katanya.

Subramaniam berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmikan Pesta Ponggal 2018 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Sanmarka, Hutan Melintang, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE