Anifah Aman

Apa pendirian Kuala Lumpur hari ini terhadap pembersihan etnik Rohingya di Myanmar yang kini viral di seluruh dunia?

ANIFAH: Pada tahun ini sahaja, Wisma Putra telah mengadakan perbincangan sebanyak tiga kali dengan Kedutaan Myanmar me­ngenai situasi di Rakhine.

Malaysia adalah negara anggota ASEAN pertama mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam kekejaman di utara Rakhine. Terkini, Wisma Putra telah me­nyampaikan hasrat saya untuk bertemu dengan Daw Aung San Suu Kyi, selaku State Counsellor dan Menteri Luar Myanmar bagi membincangkan usaha-usaha da­lam menangani isu ini.

Tetapi akhirnya penyelesaian kekejaman ini bergantung kepada komitmen Myanmar?

Perlu saya tekankan apa sahaja tindakan yang ingin diambil memerlukan kerjasama erat pihak Myan­mar. Dalam masa sama, saya juga telah memohon ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan Mesyuarat Tergempar atau Mesyuarat Luar Biasa Menteri-Menteri Luar bagi membincangkan mengenai situasi semasa di utara Rakhine. Ini terutamanya dakwaan pencabulan hak asasi manusia ke atas etnik Rohingya.

Ini bermakna tahap keprihatinan Malaysia cukup tinggi?

Malaysia sejak dahulu lagi sentiasa prihatin terhadap isu Rohingya di Myanmar. Pada 2015, Malaysia menghoskan mesyuarat bersama Indonesia dan Thailand bagi membincangkan krisis kemanusiaan pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan etnik Ro­hingya yang telah ditinggalkan oleh sindiket pemerdagangan manusia di perairan Teluk Bengal dan Laut Andaman pada 20 Mei 2015. Saya juga telah mengadakan lawatan ke Myanmar untuk membincangkan isu yang sama dengan U Wunna Maung Lwin, Menteri Luar Myanmar waktu itu. Antara tindakan yang diambil bagi menyelesaikan isu ini adalah penghantaran semula PATI berkenaan ke negara asal dan negara ketiga.

Di peringkat antarabangsa ba­gaimana pula?

Malaysia melalui Duta Khas OIC untuk Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar aktif dalam membuat ‘constructive engagement’ dengan pihak-pihak yang berkepentingan di Myanmar dalam mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan ini.

Malaysia turut menggesa agar bantuan kemanusiaan disalurkan semula ke wilayah Rakhine de­ngan kadar segera.

Sekiranya Malaysia ingin me­ngusulkan supaya debat mengenai Myanmar ini dianjurkan sekali lagi, sebagai ahli Majlis, Malaysia tidak perlu mengemukakan usul tersebut kepada Setiausaha Agung PBB. Malaysia sendiri boleh mengusulkannya di Majlis Keselamatan.

OIC melalui HUMANiTi Malaysia juga telah mengadakan program-program bagi membela nasib dan kebajikan etnik Rohingya di Malaysia. HUMANiTi Malaysia telah melawat Rakhine semasa bulan Ramadan tahun ini bagi menghulurkan bantuan makanan kepada pelarian Rohingya.

Berapa angka korban etnik Rohingya setakat ini?

Memandangkan kemasukan me­­dia atau mana-mana pertubuhan antarabangsa ke Rakhine untuk membuat pemerhatian mengenai isu ini terhad, tiada anggaran atau jumlah sebenar dapat diberikan.