Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, mesyuarat tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan perbincangan menjurus kepada soal mengukuhkan kerjasama dan muafakat pemimpin dan ahli UMNO dan Pas.

Menurutnya, kedua-dua parti bersetuju untuk mengadakan perjumpaan secara berkala dan lebih kerap.

“Pada mesyuarat pertama semalam, kita tidak membincangkan tentang pembahagian kerusi tetapi bincang bagaimana untuk mengadakan program di semua peringkat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mesyuarat semalam dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Antara pemimpin Pas negeri yang hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Muhammad Ismi Mat Taib; Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Perak, Ibrahim Zakaria; Ketua Muslimat Pas Perak, Dr. Najihatusalehah Ahmad dan beberapa pimpinan Pas yang lain.

Pemimpin UMNO lain yang hadir termasuk Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dari negeri ini iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib. - UTUSAN ONLINE