Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat SPR itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun.

“Mesyuarat Khas tersebut akan membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu.

“Selain ia juga membincangkan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu. Satu sidang media akan diadakan sejurus mesyuarat selesai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu, menolak permohonan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 membabitkan kerusi DUN Rantau adalah terbatal dan tidak sah.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Khas di Seremban memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau batal dan tidak sah.

Ini berikutan petisyen difailkan calon PKR, Dr. S. Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad yang dibuat SPR.

Dr. Streram, 63, memfailkan petisyen itu selepas beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Dr. Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dalam petisyennya, diikuti Pegawai Pilihan Raya, Amino Agus sebagai responden kedua dan SPR sebagai responden ketiga.– UTUSAN ONLINE