Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemenangan itu juga membuktikan bahawa rakyat sudah boleh menilai segala bentuk penipuan dan fitnah yang PH lakukan demi meraih undi.

Jelasnya, walaupun PH menggunakan jentera dan aset kerajaan sepanjang tempoh berkempen, kekuatan itu tidak mampu menandingi kerjasama yang terbentuk antara BN dan Pas.

"PH gunakan jentera dan aset kerajaan, PH gunakan duit dan pelbagai 'sumbangan' kerajaan, PH gunakan agensi kerajaan menyerang calon dan parti BN.

"Mereka silap kerana mereka fikir rakyat tidak tahu menilai. Hari ini, rakyat menghantar mesej yang jelas bahawa kemenangan ini bermakna PH ditolak rakyat.

"Segala penipuan dan fitnah yang mereka lakukan selama ini, rakyat sudah muak dan langsung tidak membawa kebaikan apa-apa. Rakyat mahukan Ramli Mohd. Nor mewakili suara mereka, Orang Asli pertama di Dewan Rakyat. Saya yakin beliau akan berusaha membawa kemajuan di Cameron Highlands, Insya-Allah," katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Najib juga menzahirkan rasa terima kasih terhadap kepemimpinan BN dan Pas yang bekerja keras serta kepada pengundi yang telah membuat pilihan terbaik.

"Tahniah kepada kepemimpinan tertinggi dan parti komponen BN, Pengarah Pilihan Raya Kecil, Datuk Seri Wan Rosdy, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hassan serta jentera BN termasuk UMNO Bahagian yang berkampung di Pusat Daerah Mengundi.

"Saya juga menghargai sokongan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pemimpin dan ahli Pas serta semua pihak yang turut membantu kemenangan ini.

"Terima kasih kepada semua pengundi yang memilih BN termasuk di Felda, kampung tradisional dan pos Orang Asli. Ini adalah kemenangan rakyat," jelasnya. - UTUSAN ONLINE