Dalam masa yang sama, pembangunan infrastruktur juga berjalan rancak sekali gus menyediakan peluang dan manfaat kepada masyarakat setempat.

Melihat kepada pelbagai bentuk pembangunan pesat di Parlimen Kuala Pilah termasuk kemudahan infrastruktur terutama jalan raya yang sedang dalam proses penambahbaikan, tiada sebab untuk pengundi di kawasan ini memberi laluan kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Masyarakat di kawasan ini te-lah menerima banyak pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selaku pelaksana mandat mentadbir kawasan berkenaan.

Merupakan daerah ketiga terbesar di Negeri Sembilan me-rangkumi kawasan seluas kira-kira 1,090 kilometer persegi, Kuala Pilah mempunyai pengundi berjumlah 49,735 orang.

Kuala Pilah juga telah berubah wajah menjadi lembah ilmu terutama pendidikan luar bandar dengan wujudnya beberapa institusi pendidikan yang menyediakan peluang pengajian bukan sahaja kepada penduduk setempat malah masyarakat dari luar.

Antara institusi pendidikan yang ada di kawasan ini ialah Universiti Teknologi Mara, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kolej Komuniti Kuala Pilah, Sekolah Sains Tuanku Jaafar serta Sekolah Sukan Za’aba.

Satu lagi berita gembira buat penduduk apabila Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek sedang berusaha keras untuk merealisasikan pembukaan Maktab Rendah Sains Mara Kuala Pilah.

“Usaha telah lama dibuat de­ngan pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah serta Mara, namun masih me­nunggu pelaksanaannya. Perkara ini juga telah diketahui oleh sebilangan warga Kuala Pilah. Yang penting usaha memperkasa bidang pendidikan akan terus kita laksanakan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Justeru, Hasan berharap agar sokongan penduduk terhadap kepimpinan BN di semua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen itu berterusan untuk lima tahun akan datang bagi memastikan pembangunan dan kemudahan yang diidamkan rakyat dapat direalisasikan.

“Tanpa sokongan daripada rakyat tidak mungkin BN dapat mengekalkan kecemerlangan di kawasan ini.

“Kepercayaan yang diberikan kepada BN untuk menyediakan ke­mudahaan terbaik kepada masyarakat akan tetap dihargai menerusi gerak kerja yang dilakukan,” katanya.

Parlimen Kuala Pilah merupakan antara penyumbang kepada kemenangan BN di peringkat negeri sekali gus menjadi kubu kuat BN menjelang PRU-14 akan datang.

Menurut Hasan, sudah terbukti khidmat yang diberikan oleh wakil-wakil rakyat BN begitu disenangi oleh penduduk dan mereka juga mudah didekati rakyat yang ingin mendapatkan bantuan.