Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, jika pada zaman pemerintahan Dr. Mahathir semua itu adalah pelaburan, mengapa pula pada era Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima pelaburan China, Amerika Syarikat dan Asia Barat disifatkan sebagai satu bentuk penjajahan baharu.

“Mengapa semasa memimpin negara dulu dan mendapat banyak pelaburan dari negara Barat, Eropah dan Jepun, masa tu beliau tidak cerita pula (pelaburan yang diterima itu sebagai satu bentuk penjajahan).

“Jadi saya minta orang ramai menilai sendiri. Masa nak dekat pilihan raya macam-macam cerita dan adakah realistik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Tahun Baru Cina 2018 di Taman Damai Jaya, Skudai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Gelang Patah, Khairi Malik; Ketua MCA Gelang Patah, Datuk Jason Teoh dan Ketua Gerakan Gelang Patah, Albert Teoh.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam beberapa siri ceramahnya yang menyatakan bahawa pelaburan dari China diterima di negara ini adalah satu bentuk penjajahan baharu.

Hishammuddin berkata, dunia kini dilihat tanpa sempadan menyebabkan negara bersaing antara satu sama lain termasuk dalam mengejar pelaburan bermanfaat dan menguntungkan negara.

Ditanya mengenai calon sesuai di Parlimen Gelang Patah untuk merampas semula kerusi tersebut, beliau berpendapat secara prinsipnya Jason dilihat layak bertanding di situ tetapi semua itu terpulang kepada MCA dan Perdana Menteri.

Beliau mahukan jentera BN tidak mengambil mudah serta leka seper­ti pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan kali ini mengambil kira semua isu-isu dan senario politik semasa.

Sebagai contoh, katanya, sudah tentu pihak tidak bertanggungjawab akan menyebarkan berita-berita palsu dan memainkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti bangsa dan agama.

“Visi kita (di Gelang Patah) ialah lihat kekuatan dalam kepelbagaian, berkempen secara sihat serta kempen dengan tidak menanam kebencian dan perpecahan. Kita bimbang mereka yang tidak bertanggungjawab menang sorak kampung tergadai.

“Di Gelang Patah kita perlukan calon yang boleh diterima rakyat. Gelang Patah cukup penting dan harap jentera parti dekati semua yang ada di luar. Saya tengok semangat yang luar biasa di Gelang Patah,” ujarnya yang juga Naib Presiden UMNO.